Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    135 orang imam Tarawih dilantik

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Seramai 135 orang imam telah dilantik bagi mengimamkan solat Sunat Tarawih di 76 buah masjid, surau dan balai ibadat di keempat-empat daerah termasuk surau-surau di bawah kendalian Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

    Majlis penyerahan surat lantikan imam sembahyang Sunat Tarawih telah berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, kelmarin.

    Surat-surat lantikan telah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang selaku tetamu kehormat majlis.

    Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa imam-imam yang dilantik terdiri daripada kalangan mualim Al-Quran, guru, pelajar dan lepasan dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) yang mana sebahagian daripada mereka sedang menduduki pengajian di universiti dalam dan luar negara.

    Kesemua imam yang dilantik berkenaan akan memulakan tugas mereka pada malam pertama Ramadan.

    Objektif penempatan itu adalah sebagai usaha dalam memantapkan hafazan mereka juga supaya mereka diberikan pengalaman sebagai seorang imam. Sebelum penyampaian surat lantikan berkenaan, satu sesi taklimat Sembahyang Sunat Tarawih dari kalangan pegawai masjid dan warga ITQSHHB bagi tahun 1438 Hijrah telah diadakan di dewan yang sama, pada sebelah pagi.

    Manakala itu, baru-baru ini, taklimat telah disampaikan oleh tenaga pengajar dari ITQSHHB bagi penuntut-penuntut ITQSHHB serta taklimat daripada pegawai hal ehwal masjid bagi kesemua imam yang dilantik.

    Taklimat tersebut merupakan kelolaan bersama Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama ITQSHHB.

    Haji Mohd Serudin menyampaikan sijil lantikan kepada salah seorang imam yang terpilih.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda