Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Seramai 138 orang anak yatim dari 73 buah keluarga yang terdiri daripada bekas anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), telah menerima sumbangan pada Majlis Sentuhan Kasih Ramadan kendalian ABDB di Surau Al-Barakah, Pangkalan Tentera Udara Rimba, hari ini.
Hadir bagi menyampaikan sumbangan tersebut ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan isteri, Datin Ummisyafinah binti Haji Zaini.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, tahlil dan Doa Arwah sebelum diakhiri dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim.
Majlis berkenaan merupakan acara tahunan yang diungkayahkan oleh ABDB pada bulan Ramadan bagi mengenang jasa bakti warga ABDB yang telah kembali ke rahmatullah.
Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan daripada Tabung Kebajikan ABDB, anggota ABDB, Badan Kebajikan Isteri-isteri ABDB (BAKTI), Koperasi ABDB (KOWIRA) dan penderma-penderma perseorangan, untuk memberikan kegembiraan dan meringankan beban anak-anak yatim dalam membuat persiapan bagi bulan Syawal.
