Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, Mentiri, Kawasan 2, hari ini telah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Arwah dan diselajurkan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim bagi penduduk kampung berkenaan di kediaman Ketua Kampung
Kawasan 2.
Hadir selaku tetamu khas majlis dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim ialah Pemangku Penghulu Mukim Mentiri A, Awang Hamidun bin Mohd Daud, yang juga Ketua Kampung STKRJ Sungai Buloh (Bukit Sibanging).
Turut menyampaikan sumbangan, Ketua Kampung Kawasan 2, Jalan Tanjung Selasih, RPN Kampung Panchor, Mentiri, Haji Mohd Eddie Hardey bin Haji Ibrahim.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ahli Biro Keagamaan, Awang Hamri bin Haji Mantin, yang juga memimpin bacaan tahlil dan Doa Arwah.
Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada 14 orang anak yatim penduduk Kawasan 2, RPN Panchor sebelum diakhiri dengan majlis berbuka bersama anak-anak yatim.
Sumbangan-sumbangan tersebut adalah sumbangan daripada para dermawan, ahli-ahli MPK Kawasan 2 dan juga Al-Risqi Enterprise.