COLUMBUS, OHIO, 30 APRIL — Bahagian dari sebuah rumah telah runtuh dan 14 orang cedera berhampiran Universiti Negeri Ohio petang kelmarin apabila orang ramai memanjat bumbung yang tidak direka untuk menampung berat yang signifikan, kata pihak berkuasa.
Ketua Batalion Bomba Bahagian Columbus, Steve Martin berkata, pihaknya menerima laporan sekitar jam 7:40 malam mengenai bumbung runtuh di East 13th Avenue dan sebaik tiba di sana, mendapati bumbung di atas anjung hadapan telah runtuh manakala seluruh rumah kekal utuh.
“Beberapa orang yang terperangkap, saya percaya, mungkin terjepit,” kata Martin. “Ia seperti kaki mereka tersangkut di bawah beberapa struktur dan beberapa pelajar mengangkatnya. Jadi semua orang sudah keluar,” jelasnya.
Responden pertama pada mulanya, menemui 10 orang yang cedera dan akhirnya mengangkut 14 mangsa kemalangan ke hospital berdekatan dengan ‘pelbagai kecederaan’ tetapi mereka semua berada dalam keadaan stabil, kata Martin.
“Nampaknya, bumbung itu penuh dengan pelajar,” kata Martin, dengan anggaran antara 15 hingga 45 orang di atas bumbung yang tidak direka untuk menampung berat sesiapa di atasnya, lalu runtuh,” tambahnya.
Nama pemilik atau penghuni rumah tidak tersedia pada masa ini.
Rumah itu bukan milik Universiti Negeri Ohio.
Kampus utama di Columbus mempunyai populasi pelajar yang berdaftar sebanyak 61,677 untuk tahun persekolahan 2022-2023, menurut laman web universiti itu. – AP