TOKYO, 2 JUN – Seramai 14 penumpang cedera apabila sebuah kereta api automatik secara tiba-tiba mengubah haluan perjalanannya dan merempuh hentian penimbal, dalam kejadian di pinggir bandar raya ini.
“Insiden membabitkan kereta api tanpa pemandu itu berlaku malam semalam, mengakibatkan 14 penumpang cedera,” kata jurucakap polis wilayah Kanagawa di selatan Tokyo kepada AFP.
Media tempatan melaporkan, kecederaan yang dialami kebanyakan penumpang adalah agak serius tetapi tidak mengancam nyawa.
“Kereta api merempuh hentian penampan di stesen Shin-Sugita selepas bergerak pada arah yang salah selama 20 minit,” kata presiden pengendali kereta api, Akihiko Mikami pada sidang media di sini, semalam.
Stesen terbabit adalah terminal pemanduan sendiri pada laluan Kanazawa Seaside di bandar pelabuhan Yokohama.
“Insiden itu adalah yang pertama mengakibatkan kecederaan membabitkan kereta api tanpa pemandu sejak ia mula dilancarkan 30 tahun lalu,” kata Mikami. Beliau berkata, pihaknya sudah menutup laluan berkenaan, namun masih belum diketahui bila ia akan kembali beroperasi. – AFP