Friday, July 5, 2024
29.6 C
Brunei

    -

    14 graduan cemerlang dirai

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Seramai 14 orang graduan di bawah Skim Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Luar Negeri dan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan (SBPP) yang berjaya memperoleh keputusan kepujian Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda setelah tamat pengajian mereka pada 2023, telah diraikan di Majlis Anugerah Graduan Cemerlang 2024, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para penerima yang diraikan pada majlis yang berlangsung di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Pemangku Pengarah Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan, Dayang Rosimah Sumaimah binti Haji Matassim dalam kata alu-aluannya menyatakan, pencapaian para graduan merupakan bukti keazaman, komitmen dan ketekunan mereka dalam mengejar ilmu serta kegigihan dan dedikasi mereka untuk mencapai kecemerlangan.

    “Kejayaan mereka bukan sahaja membanggakan keluarga dan institusi tempat pengajian mereka, malah ia juga memperkukuhkan keupayaan negara kita dalam menghasilkan sumber tenaga manusia yang berkualiti dan berkebolehan dalam menangani cabaran global serta ekosistem tenaga manusia yang mantap,” tambahnya.

    Beliau berkata bahawa para graduan yang diraikan telah diberi peluang yang berharga untuk memperkukuhkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran mereka di luar negara dan sekarang tiba masanya untuk memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman itu dengan menyumbang kepada masyarakat dan turut sama-sama berusaha untuk membangunkan negara demi mencapai Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan masyarakat berpelajaran, berkemahiran dan bertamadun.

    Dayang Rosimah Sumaimah menyeru mereka untuk menerima cabaran bagi berinovasi, kreatif, berjiwa patriotik dan tidak lokek berkongsi pengetahuan di alam pekerjaan nanti.

    Beliau percaya mereka mempunyai potensi untuk membawa perubahan positif yang besar kepada negara sama ada dalam bidang akademik, industri dan sosial tanpa melupakan nilai-nilai yang dipegang berpaksikan Melayu Islam Beraja.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian plak dan sijil penghargaan kepada para graduan yang diraikan oleh Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah dan diikuti dengan ucapan daripada wakil graduan, Dayangku Aniisah Khoirunnisaa’ binti Pengiran Haji
    Kamaluddin.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyampaikan plak dan sijil kepada graduan yang diraikan pada majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Antara yang menghadiri majlis yang berlangsung di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Waktu sarapan McDonald’s Australia dipendekkan

    SYDNEY, 4 JULAI – Rangkaian makanan segera McDonald’s di Australia telah memendekkan waktu perkhidmatan sarapan akibat kekurangan bekalan telur berikutan wabak selesema burung yang...