Tuesday, July 15, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    14 juta kanak-kanak tidak terima walaupun satu vaksin pada 2024

    LONDON, 15 JULAI – Lebih 14 juta kanak-kanak tidak terima satu vaksin pun tahun lalu- kira-kira jumlah yang sama seperti tahun sebelumnya, menurut pegawai kesihatan PBB.

    Sembilan buah negara menyumbang lebih separuh daripada jumlah kanak-kanak yang tidak dilindungi tersebut.

    Dalam anggaran tahunan liputan vaksin global yang dikeluarkan hari ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF berkata kira-kira 89% kanak-kanak di bawah umur 1 tahun mendapat dos pertama vaksin difteria, tetanus dan batuk kokol pada 2024, sama seperti pada 2023. Kira-kira 85% menerima tiga siri dos, meningkat daripada 84% pada 2023.

    Pegawai mengakui, bagaimanapun, penurunan bantuan antarabangsa tahun ini akan menyukarkan lagi usaha untuk melindungi lebih kanak-kanak.

    Januari lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menarik balik AS daripada WHO dan membekukan hampir semua bantuan kemanusiaan dan kemudiannya menutup agensi USAID.

    Bulan lalu, Setiausaha Kesihatan, Robert F Kennedy Jr berkata AS menarik berbilion dolar yang sebelum ini dijanjikan kepada pakatan vaksin Gavi dengan mengatakan kumpulan itu telah ‘mengabaikan sains’.

    “Pemotongan drastik dalam bantuan, ditambah pula dengan maklumat salah tentang keselamatan vaksin telah mengancam kemajuan kesihatan berdekad-dekad,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

    Pakar PBB berkata bahawa akses kepada vaksin masih ‘sangat tidak sama rata” dan juga menyatakan konflik dan krisis kemanusiaan dengan cepat telah mengganggu kemajuan kesihatan.

    Data menunjukkan bahawa sembilan negara menyumbang 52% daripada semua kanak-kanak yang terlepas imunisasi sepenuhnya termasuk Nigeria, India, Sudan, Congo, Ethiopia, Indonesia, Yaman, Afghanistan dan Angola.

    WHO dan UNICEF berkata liputan terhadap penyakit campak meningkat sedikit, dengan 76% kanak-kanak di seluruh dunia menerima kedua-dua dos vaksin. Tetapi pakar mengatakan kadar vaksin campak perlu mencapai 95% untuk mencegah wabak penyakit yang sangat berjangkit itu. WHO menyatakan bahawa 60 negara melaporkan wabak campak besar tahun lepas.

    A.S. kini mengalami wabak campak terburuk dalam lebih tiga dekad dan penyakit itu juga telah merebak di seluruh Eropah, dengan 125,000 kes pada 2024 menjadikan rekod dua kali lebih banyak daripada tahun sebelumnya, menurut WHO.

    “Sangat membimbangkan tetapi tidak menghairankan (apabila) kita terus menghidapi wabak campak,” kata Helen Bradford, seorang profesor kesihatan kanak-kanak di University College London. “Satu-satunya cara untuk menghentikan penyebarannya adalah dengan vaksinasi. Tidak ada kata terlambat untuk diberi vaksin, walaupun sebagai orang dewasa,” tambahnya dalam satu kenyataan. – AP 

    Suntikan vaksin Pfizer COVID-19 sedang disediakan di La Paz, Bolivia pada 7 Jan. PBB anggarkan ramai kanak-kanak tidak terima vaksin. – Gambar fail – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda