14 kadet KUPU SB naik pangkat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Bagi memenuhi misi dan visi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang mempunyai pelbagai pengetahuan yang seimbang di antara bidang akademik dan latihan praktikal, Majlis Perasmian Penubuhan Kadet Tentera dan Penyampaian Kenaikan Pangkat bagi Kadet Tentera KUPU SB, telah diadakan di Dewan Tarbiyah, KUPU SB, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis perasmian itu ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar dan Pegawai Pemerintah Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), 444 Lt Kol Muhammad Suradzin bin Haji Muhammad Yusof.

Penubuhan kadet tentera menjadi hasrat KUPU SB untuk melahirkan bakal-bakal guru agama dalam kalangan kadet tentera yang mempunyai ketahanan jati diri daripada segi mental, fizikal dan emosi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Seterusnya, mewujudkan kadet tentera yang mempunyai semangat kerjasama, perpaduan, toleransi, saling menghormati, tolong-menolong serta bersikap pemedulian tanpa mengira agama, keturunan dan bangsa.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Asmaul Husna dan nyanyian lagu Kebangsaan beramai-ramai serta dikuti dengan bacaan ayat suci Al-Quran, Surah al-Fajrayat 1 hingga 9 oleh Awang Waie Zakwan bin Norazman dan terjemahan ayat dibacakan oleh Kadet Tentera Pengambilan ke-3 Sesi 2020/2021, KPL Muhammad Haazim bin Hasbollah.

Timbalan pengarah Pusat Ilmu Teras selaku guru pengawas pasukan kadet tentera KUPU SB, 686 P W2KT Dayangku Zainab binti Pengiran Haji Tuah, dalam kata alu-aluannya menjelaskan terdapat beberapa kla-sifikasi sokongan bagi kenaikan pangkat yang perlu dipenuhi oleh semua kadet tentera di KUPU SB termasuk penilaian keperibadian seperti kelakuan am, kegigihan, inisiatif, perwatakan dan perawakan, kekuatan jasmani dan kepercayaan diri sendiri, penilaian prestasi bidang akademik iaitu lulus dalam penilaian peperiksaan PNJK3.0 ke atas, penyertaan aktif dalam aktiviti anggota kadet tentera sepanjang tahun seperti mengikuti kursus pengenalan kadet tentera, kursus senjata, menyertai aktiviti kecergasan di Kem Rimba, kursus dan Majlis Khatam Al-Quran sempena Jubli Emas 50 tahun kadet tentera 2021 dan sebagainya.

Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian penubuhan Kadet Tentera KUPU SB oleh Dr Haji Adanan.

Seramai 14 orang Kadet Tentera KUPU SB menerima kenaikan pangkat mereka yang disampaikan oleh 444 Lt. Kol Muhammad Suradzin. Di majlis berkenaan, 94000 Sarjan Kadet Muhammad Jafni Fathullah bin Haji Jabidi telah dianugerahkan sebagai kadet terbaik KUPU SB.

Majlis ditutup dengan bacaan doa khas KUPU SB oleh Tenaga Akademik Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Awang Mohammed Noor bin Haji Ibrahim. Majlis juga diserikan dengan pameran statik ABDB termasuk helikopter, kereta kebal dan perahu ronda.

Lt Kol Muhammad Suradzin menyampaikan anugerah kadet terbaik KUPU SB kepada 94000 Sarjan Kadet Muhammad Jafni Fathullah. – Gambar serahan KUPU SB