Thursday, January 23, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    14 kes, 1 kluster baharu COVID-19

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Negara Brunei Darussalam merekodkan 14 kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 15,362 orang,
    manakala satu kluster baharu juga dikesan.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini menyatakan terdapat lapan pertambahan kes baharu daripada empat kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak terdekat kes positif sebelum ini.

    Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menambah, satu kluster baharu melibatkan tiga kes ialah daripada kluster rumah persendirian, manakala tiga kluster telah tamat setelah tiada kes dalam 28 hari iaitu Kluster 14125, Kluster KSAKB Construction Staff House dan Kluster HHY Construction, menjadikan jumlah kluster yang aktif berkurangan kepada 97 kluster.

    Manakala, terdapat tiga kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

    Seramai 36 pesakit disahkan sembuh, membawa jumlah keseluruhan yang sembuh kepada 15,009 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 253 kes, jelas Yang Berhormat Dato.

    Hanya satu kes dalam kategori 5 daripada kes yang sedang dalam rawatan, yang memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) serta bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO). Sementara itu, tidak ada kes yang dikategorikan dalam kategori 4.

    Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 1,406 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 membawa jumlah keseluruhan ujian kepada 665,433 ujian.

    Beliau turut menyeru orang ramai terus berdoa kepada Allah SWT agar negara terus terpelihara dan terselamat daripada wabak COVID-19 dan semoga rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah SWT.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda