COLOMBO, 2 JUN – Banjir kilat, tanah runtuh dan pokok tumbang telah meragut nyawa kira-kira 14 orang di Sri Lanka ketika negara pulau itu dilanda ribut monsun, kata pusat bencana negara itu hari ini.
Ada yang lemas, termasuk tiga ahli keluarga yang dihanyutkan oleh arus berhampiran ibu negara Colombo hari ini.
Yang lain tertimbus hidup-hidup dalam tanah runtuh, termasuk seorang gadis berusia 11 tahun dan seorang lelaki berusia 20 tahun, kata Pusat Pengurusan Bencana (DMC).
Sembilan orang lagi terbunuh apabila pokok tumbang menimpa mereka di tujuh daerah sejak monsun semakin kuat pada 21 Mei, kata DMC.
Walaupun Sri Lanka bergantung kepada hujan monsun bermusim untuk pengairan serta hidroelektrik, pakar telah memberi amaran bahawa negara itu menghadapi banjir yang lebih kerap kerana pemanasan global akibat perubahan iklim.

DMC berkata 20 daripada 25 daerah di negara itu terjejas akibat hujan lebat dan mengeluarkan amaran kepada penduduk yang tinggal di tebing sungai utama untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.
Pesawat yang tiba di lapangan terbang antarabangsa utama Colombo telah dilencongkan ke lapangan terbang yang lebih kecil, dan beberapa lebuh raya utama dinaiki air di beberapa pintu keluar.
Kerajaan juga mengarahkan semua sekolah ditutup pada Isnin selepas cuti hujung minggu, kerana lebih banyak hujan diramalkan.
“Mungkin terdapat lebih banyak hujan lebat yang disertai angin kencang dan guruh,” kata DMC.
Minggu lalu, pihak berkuasa hidupan liar menemui tujuh bangkai gajah muda yang lemas dalam satu kehilangan terbesar haiwan itu dalam tempoh lima tahun. – AFP