14 maut hujan lebat, angin kencang di Sri Lanka

COLOMBO, 25 NOV – Seramai 14 orang terbunuh dan seorang hilang semasa angin kencang dan hujan lebat yang melanda Sri Lanka sejak minggu lalu, menurut Pusat Pengurusan Bencana (DMC).

Menurut angka terbaharu, lebih 100,000 keluarga telah terjejas di sembilan daerah kerana keadaan cuaca tersebut manakala 114 orang dipindahkan ke tempat yang selamat serta 22 lagi cedera.

Jabatan Meteorologi Sri Lanka awal hari ini mengatakan amaran merah sudah pun dikeluarkan di 19 daerah ketika hujan lebat lebih 100 milimeter dijangka turut di daerah terbabit.

Keadaan cuaca itu dijangka meningkat dalam masa 24 jam dan DMC menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan rendah segera berpindah ke tempat tinggi. – Xinhua