Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    14 maut tanah runtuh di Cameroon

    YAOUNDE, 28 NOV – Sekurang-kurangnya 14 orang terkorban manakala puluhan lagi hilang apabila berlaku tanah runtuh sewaktu upacara pengebumian di ibu negara Cameroon semalam.

    Tragedi itu turut memaksa pasukan penyelamat menggali runtuhan dengan bantuan lampu suluh kerana khuatir mungkin ada mangsa yang masih hidup.

    Gabenor Wilayah Pusat, Naseri Paul Bea, yang dipetik badan penyiar kebangsaan Cameroon CRTV, berkata pencarian mangsa yang terselamat diteruskan sehingga malam.

    “Di tempat kejadian, kami mengira sebanyak 10 mayat, tetapi sebelum ketibaan kami, empat mayat sudah dibawa keluar. Puluhan yang cedera parah juga dihantar ke hospital,” katanya.

    Beliau turut menyifatkan kawasan tanah runtuh berlaku iaitu di kawasan kejiranan Damas di Yaounde sebagai ‘lokasi yang sangat berbahaya’ dan menggesa orang ramai beredar sebelum pihak berkuasa masuk untuk membersihkannya.

    Bencana itu berlaku di daerah Damas yang rata-rata penduduknya adalah golongan pekerja, di pinggir timur ibu negara.

    Penduduk memberitahu AFP, beberapa keluarga berkumpul di bawah khemah besar di puncak bukit apabila tanah di mana mereka berdiri tiba-tiba runtuh.

    Wartawan melihat empat khemah putih di puncak bukit, dengan tanah sudah terhakis tetapi polis melarang mereka menghampiri kawasan berkenaan. – AFP

    Pasukan menyelamat meletakkan mayat yang dikeluarkan daripada runtuhan di ibu negara Cameroon. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda