Selasa, Julai 29, 2025
33 C
Brunei

    Berita Terkini

    14 maut tembakan rambang ke atas orang awam

    QUITO, 28 JULAI – Sekurang-kurangnya 14 orang awam, termasuk seorang kanak-kanak maut dalam dua serangan berasingan oleh penyerang bersenjata di kawasan
    pesisir Ecuador kelmarin, menurut pihak berkuasa.

    Sejak Presiden Daniel Noboa mengisytiharkan perang terhadap jenayah terancang awal tahun lalu, negara itu menjadi antara yang paling ganas di rantau itu dengan kadar pembunuhan 38 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2024.

    Ketua Polis bandar El Empalme di barat daya negara itu, Mejar Oscar Valencia berkata pihaknya menganggarkan seramai 12 terbunuh, manakala tiga lagi cedera.

    Katanya, penyerang yang sama turut melepaskan tembakan terhadap satu lagi kumpulan, mengorbankan dua lagi mangsa.

    “Penyerang yang menaiki dua pikap melepaskan tembakan menggunakan pistol dan raifal.

    Gambar Freepik

    “Mereka menembak secara rambang ke arah semua orang,” katanya sambil menyatakan antara mangsa yang maut adalah seorang budak lelaki berusia 12 tahun.

    Mayat mangsa dilaporkan terbaring di hadapan sebuah kedai arak, manakala puluhan ahli keluarga mangsa dilihat menangis di seberang jalan.

    Polis turut menemui sekurang-kurangnya 40 kelongsong peluru di lokasi kejadian.

    Insiden itu berlaku ketika Ecuador menyaksikan lonjakan mendadak dalam kes-kes keganasan.

    Dalam tempoh lima bulan lalu, sebanyak 4,051 kes pembunuhan direkodkan di seluruh negara, menurut data rasmi.

    Sejak minggu lalu, sembilan individu terbunuh ketika bermain ‘pool’ di sebuah bar di kawasan pelancongan General Villamil, juga terletak di barat daya.

    Pernah dianggap sebagai antara negara paling aman di Amerika Latin, Ecuador kini dilanda krisis susulan perluasan kartel transnasional yang menggunakan pelabuhannya untuk menghantar dadah ke Amerika Syarikat dan Eropah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda