14 nama langgar Ops Pulih dipaparkan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Walaupun jumlah kompaun bagi pelanggaran peraturan di bawah Operasi Pulih telah dinaikkan daripada $100 kepada $500 bagi setiap kesalahan, namun masih ada yang degil apabila 25 kesalahan telah dikeluarkan denda kompaun semasa pemantauan dari pukul 8 malam hingga 4 pagi tadi.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, menjelaskan lanjut bahawa sebanyak 14 daripada jumlah tersebut adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah.

Nama-nama individu melanggar arahan teranah di rumah turut dipaparkan pada sidang media itu, mereka termasuklah Mohd Hairul Hilmi bin Abdul Kadir; Mas Ridzuan bin Pungut; Mohd Khirul Amfllifitri bin Mohd Said; Mohd Hafizuddin bin Mohd Niah; Mohd Izzan Azizi bin Zulkefli; Mohamad Norsahariman bin Tujoh; Mohamad Iskandar bin Haji Jamil; Choutupalli Venkata Rao; Kafil Uddin; Nurma; Mohammad Belayet Hossain; Zahirul Haq; Muhammad Khan dan Naganathan Sivagnam.

Manakala itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan, memaklumkan bahawa hasil daripada Operasi Pulih yang dijalankan semalam, 14 kesalahan telah dicatatkan di Daerah Brunei dan Muara dan 11 kesalahan dicatatkan di Daerah Belait.

PPDB dalam kenyataan itu menekankan bahawa kerjasama daripada semua pihak (masyarakat awam) adalah sangat diharapkan bagi membantu pihak kerajaan mengatur strategi memberhentikan penularan wabak.

Anggota penguat kuasa turut menjalankan pemeriksaan di perairan negara bagi mengesan mereka yang melanggar arahan operasi.

Anggota penguat kuasa ketika menjalankan pemantauan semasa Operasi Pulih.