Sunday, July 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    14 negara dikenakan tarif sehingga 40% termasuk Malaysia

    NEW YORK, 8 JULAI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin mengumumkan bahawa tarif sebanyak 25 peratus akan dikenakan ke atas import dari Jepun dan Korea Selatan bermula 1 Ogos ini, lapor Xinhua.

    Menerusi catatan di media sosial serta surat rasmi yang dihantar kepada pemimpin kedua-dua negara, Trump menjelaskan bahawa tarif baharu itu akan dilaksanakan secara berasingan daripada tarif lain yang telah dikenakan sebelum ini.

    Trump turut memaklumkan bahawa surat serupa telah dihantar kepada pemimpin 12 negara lain — iaitu Malaysia, Kazakhstan, Afrika Selatan, Myanmar, Laos, Tunisia, Indonesia, Bangladesh, Serbia, Bosnia dan Herzegovina (BiH), Kemboja dan Thailand — bagi memaklumkan bahawa kadar tarif antara 25 hingga 40 peratus akan dikuatkuasakan mulai bulan hadapan.

    Kadar tarif ke atas Malaysia, Kazakhstan dan Tunisia sebanyak 25 peratus, manakala Afrika Selatan dan BiH masing-masing 30 peratus. Indonesia pula akan dikenakan tarif 32 peratus; Bangladesh dan Serbia pula 35 peratus. Kemboja dan Thailand masing-masing akan dikenakan tarif 36 peratus, manakala kadar tertinggi iaitu 40 peratus dikenakan terhadap Laos dan Myanmar.

    Dalam surat yang hampir serupa kepada kesemua negara terlibat, Trump menjelaskan bahawa kadar tarif itu “jauh lebih rendah daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan jurang Defisit Perdagangan antara negara awda dan Amerika Syarikat.”

    Beliau turut memberi amaran bahawa jika negara-negara terbabit mengambil langkah balas dengan menaikkan tarif masing-masing, Washington akan bertindak balas dengan menaikkan tarif pada kadar yang sama

    Trump juga menjelaskan bahawa tarif tidak akan dikenakan sekiranya negara-negara berkenaan atau syarikat mereka memilih untuk membina atau mengilang produk di dalam AS, malah pentadbirannya akan mempermudah dan mempercepatkan proses kelulusan bagi tujuan itu.

    “Jika awda bersedia membuka pasaran perdagangan awda yang selama ini tertutup kepada AS, serta menghapuskan dasar tarif dan bukan tarif serta halangan perdagangan, kami mungkin mempertimbangkan semula isi kandungan surat ini,” katanya.

    Sementara itu Trump pada Isnin menandatangani perintah eksekutif bagi melanjutkan tarikh pelaksanaan tarif daripada 9 Julai kepada 1 Ogos.

    “Justeru, kadar tarif timbal balik atau kadar baharu yang digariskan dalam surat kepada pemimpin-pemimpin asing ini akan dikuatkuasakan dalam tempoh sebulan akan datang, melainkan terdapat persetujuan baharu yang dicapai,” katanya. – Bernama/Xinhua 

    Presiden Donald Trump semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Bilik Biru Rumah Putih di Washington kelmarin. 14 negara dikenakan tarif sehingga 40 peratus.- Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda