Saturday, February 15, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    14 negeri AS saman Trump

    MOSCOW, 14 FEB – Empat belas negeri di Amerika Syarikat (AS) telah memfailkan saman persekutuan terhadap Presiden Donald Trump dan Elon Musk, jutawan ketua Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), atas dakwaan memiliki kuasa tanpa had dan tidak terkawal yang melanggar perlembagaan, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik Jabatan Kehakiman New Mexico.

    “Peguam Negara New Mexico Raul Torrez, bersama Peguam Negara Arizona Kris Mayes dan Peguam Negara Michigan Dana Nessel serta 11 negeri lain, mengumumkan pemfailan saman mencabar penyerahan kuasa eksekutif secara tidak sah kepada Elon Musk,” menurut kenyataan itu.

    Saman itu mendakwa Trump telah melanggar Klausa Pelantikan dalam Perlembagaan AS dengan menubuhkan sebuah jabatan persekutuan tanpa kelulusan Kongres dan memberikan Musk kuasa luas ke atas keseluruhan kerajaan persekutuan tanpa berunding atau mendapatkan persetujuan Senat.

    Peguam Negara Arizona Kris Mayes berkata pengasas AS pasti akan berasa terganggu dengan hakikat bahawa, 250 tahun selepas negara itu menumbangkan seorang raja, ramai rakyat Amerika kini berada di bawah kawalan seorang jutawan yang tidak dipilih.

    Beliau menegaskan bahawa membenarkan individu mengabaikan undang-undang tanpa menghadapi akibat merupakan ancaman kepada keseluruhan rangka kerja perlembagaan serta memberi amaran terhadap penguasaan proses demokrasi negara oleh golongan kaya dan berpengaruh.

    “Serangan luar biasa terhadap kerajaan persekutuan kita oleh seorang jutawan yang tidak dipilih dan tidak dilantik seperti Elon Musk telah merampas hak Senat untuk menasihati dan memberi persetujuan serta jelas tidak berperlembagaan,” kata Peguam Negara Michigan Dana Nessel. – Bernama

    Presiden Donald Trump mendengar ketika Elon Musk, yang ditemani anaknya, berucap di Pejabat Oval di White House, Selasa, 11 Februari, di Washington. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda