Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – SC Tubular Solution (B) Sdn Bhd dengan kerjasama Mothercare Enterprise telah menyumbangkan kerusi keselamatan anak damit kepada 14 pasangan pada majlis penyampaiannya yang berlangsung di Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.
Tujuan inisiatif tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan kanak-kanak di dalam kereta dan menekankan peranan kerusi keselamatan anak damit yang sesuai bagi anak baharu lahir hingga kanak-kanak berumur empat tahun bagi melindungi mereka semasa dalam kenderaan. Pada majlis tersebut, Mothercare telah membuat demonstrasi berkenaan kerusi keselamatan termasuk cara memasang dengan betul dan tayangan video mengenai keselamatan anak damit dan kanak-kanak, serta semua orang dewasa semasa dalam perjalanan.
Sejak tahun lalu, Mothercare telah bekerjasama dengan SC Tubular Solution (B) Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat mereka dan sehingga Mac tahun ini, mereka terus memberikan kerusi keselamatan anak damit kepada tiga buah hospital yang berlainan yang terletak di Daerah Brunei-Muara, Daerah Tutong dan Daerah Belait.
