BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Kementerian Hal Ehwal Luar India baru-baru ini menganjurkan program latihan tiga hari secara maya bagi pegawai dari Jabatan Kemajuan Perumahan (JKP), Kementerian Pembangunan Negara Brunei Darussalam.
Menurut kenyataan diterima dari Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam hari ini, seramai 14 orang pegawai mengikuti program latihan yang dianjurkan oleh Institut Pengurusan Penempatan Rumah (HSMI) India di bawah Program e-ITEC, Kerjasama Ekonomi dan Teknikal India (ITEC).
Program latihan membincangkan topik perumahan, termasuk konsep dan tipologi perumahan, panduan perancangan dan rekaan bagi pembangunan bandar mapan dan berpatutan, teknologi kos efektif dan tenaga efisien melalui inisiatif bangunan hijau yang berdaya tahan daripada bencana, teknologi pembinaan moden bagi perumahan besar-besaran, mekanisme pembiayaan bagi kediaman mapan dan peta laluan bagi reformasi perumahan.
Sesi penutup program turut dihadiri oleh Setiausaha Bersama Perkongsian Pentadbiran Pembangunan di Kementerian Hal Ehwal Luar India, Abhilasha Joshi; Kuasa Usaha Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam, Ravi Chandar; Pengarah Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan, Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar, warga HSMI dan pegawai serta peserta dari JKP.