TEMBURONG, 7 MAC – Seramai 14 pekerja tempatan didapati gagal didaftarkan dan dicarumkan di bawah Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) oleh majikan semasa lawatan dan pemeriksaan pegawai-pegawai Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan ke 52 buah premis perniagaan di sekitar Pekan Bangar, Daerah Temburong, kelmarin.
Menurut TAP, lawatan itu adalah bagi memastikan para majikan sentiasa menjalankan tanggungjawab di dalam mendaftarkan dan membayar caruman SPK pekerja-pekerja mereka. Setiap pekerja yang mencukupi persyaratan skim adalah dimestikan untuk mempunyai simpanan persaraan bagi dimanfaatkan pada hari persaraan mereka nanti.
TAP memaklumkan kepada majikan bahawa proses pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja telah dipermudahkan dengan hanya menggunakan perkhidmatan dalam talian TAP melalui e-Amanah. Para majikan boleh log masuk ke akaun portal e-Amanah masing-masing melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn dan tidak perlu lagi berurusan melalui kaunter-kaunter perkhidmatan TAP seperti sebelumnya.
Majikan diingatkan untuk menjalankan tanggungjawab bagi mendaftarkan dan membayar caruman para pekerja yang layak ke SPK terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat. Ini termasuklah pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari dan pekerja di dalam tempoh percubaan.
Di bawah Bab 35 (1), National Retirement Scheme Order, 2023 jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak lebih dari $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih dari $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Sebarang aduan bolehlah dikongsi ke Unit Penguatkuasaan TAP di talian hotline 7302929 ataupun melalui emel di alamat enforcement@tap.com.bn. Secara alternatif, pekerja juga boleh mengunjungi cawangan TAP yang berdekatan atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2722929 semasa waktu bekerja.
