Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Delegasi yang terdiri dari 14 orang pelajar dari sekolah rendah dan menengah berserta lima orang guru telah berlepas ke peringkat akhir pertandingan International Students Project Excellent Award 2025 di Thailand hari ini.
Pertandingan anjuran Prince of Songkla University, Thailand berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, 21 hingga 23 Mei di International Convention Centre Hat Yai, Thailand.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar dan memberikan kata-kata nasihat kepada delegasi berkenaan ialah Ketua Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Kementerian Pendidikan, Hajah Suriani binti Haji Noor Hashim.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan dari Jabatan Sekolah-sekolah, Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), pengetua-pengetua dan guru besar sekolah yang terlibat serta ibu bapa dan ahli keluarga pelajar.
Delegasi Negara Brunei Darussalam terdiri daripada wakil pelajar Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang, Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Sekolah Menengah Sayyidina Ali dan Sekolah Menengah Perdana Wazir.
Sebelum mara ke peringkat akhir pertandingan, kumpulan-kumpulan berkenaan telah melepasi saringan awal dengan menghantar kertas kerja dan video pembangunan projek yang selaras dengan tema Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Pada peringkat akhir ini, para pelajar akan membentangkan projek masing-masing yang merangkumi objektif, metodologi, teori yang digunakan serta mengaitkan projek dengan SDG.
Pertandingan berkenaan bermatlamat untuk menggalakkan pelajar dari institusi pendidikan di seluruh dunia dengan membangunkan kemahiran analitikal, pemikiran kritis dan keupayaan menyelesaikan masalah secara kreatif melalui projek dalam bidang sains dan sains sosial.
Selain memperkukuhkan pengetahuan, pertandingan itu juga dihasratkan untuk memupuk nilai kewarganegaraan global, menggalakkan kerjasama rentas budaya serta mewujudkan jaringan dalam kalangan pelajar dari pelbagai negara.
