Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Seramai 14 orang pelajar Darjah 6 Sekolah Ugama Anak-anak Polis Diraja Brunei diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran selepas berjaya menamatkan pembacaan Al-Quran 30 juzuk.
Majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis itu dihadiri oleh Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali selaku tetamu kehormat majlis dan isteri.
Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin dan Datin, pengarah jabatan-jabatan PPDB, pengarah-pengarah Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, guru-guru besar sekolah agama Kawasan Brunei III dan ibu bapa serta penjaga para pelajar yang diraikan.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan ayat-ayat lazim oleh peserta khatam.
Manakala takhtim dibacakan oleh para pelajar perempuan Darjah 4 dan 5 sekolah berkenaan dan Doa Khatam dibacakan oleh peserta khatam, Awang Rayyan Iman bin Yusri.
Majlis juga diserikan dengan laungan Dikir Manhadar oleh murid-murid lelaki Darjah 3 hingga 5 sekolah berkenaan. Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar.
Sijil-sijil khatam telah disampaikan kepada para pelajar yang diraikan oleh tetamu kehormat pada majlis itu.
