Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    14 pelombong haram ditahan, ratusan masih bersembunyi

    JOHANNESBURG, 25 NOV – Polis Afrika Selatan hari ini mengesahkan bahawa seramai 14 individu telah ditahan selepas keluar dari lombong emas haram yang dipercayai menjadi tempat persembunyian ratusan pelombong lain.

    Pihak berkuasa telah berkawal selama beberapa minggu di luar lombong emas yang terbiar di Stilfontein, kira-kira 150 kilometer barat daya Johannesburg, dalam usaha memaksa pelombong haram keluar dengan menyekat penghantaran makanan dan air oleh penduduk tempatan ke dalam lombong.

    Operasi itu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat tempatan, dengan ramai bimbang pelombong yang dikenali sebagai zama zamas (bermaksud ‘mereka yang mencuba’ dalam bahasa Zulu) mungkin kelaparan atau terdedah kepada risiko kematian di bawah tanah.

    “Seramai 14 pelombong haram muncul semula malam tadi, membuktikan bahawa mereka tidak terperangkap tetapi hanya enggan keluar,” kata polis dalam satu kenyataan.

    Polis menambah bahawa ada pelombong lain yang kembali melarikan diri ke dalam terowong sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

    Anggota Perkhidmatan Polis Afrika Selatan (SAPS) membantu para sukarelawan dan anggota komuniti menandatangani borang tanggung rugi sebelum mengiringi mereka ke pintu masuk lombong di Stilfontein, pada 18 November. – AFP

    Menurut polis, semua pelombong yang ditahan merupakan warga Mozambique.

    Afrika Selatan, sebuah negara yang kaya dengan sumber mineral, menjadi tumpuan ribuan pelombong haram yang kebanyakannya berasal dari negara-negara jiran. Mereka hidup dan bekerja dalam keadaan yang sangat sukar.

    Salah seorang pelombong yang ditemui wartawan AFP selepas keluar dari lombong pada 17 November lalu memberitahu bahawa dia telah menghabiskan dua bulan di bawah tanah.

    Bagaimanapun, sebilangan pegawai berpendapat pelombong haram tidak wajar diberikan bantuan. Menteri Hal Ehwal Presiden, Khumbudzo Ntshavheni, berkata, “Kami akan mengusir mereka keluar.”

    Jumlah sebenar pelombong yang masih berada di bawah tanah di Stilfontein masih tidak dapat dipastikan. Pada awalnya, seorang penduduk tempatan mendakwa bahawa sekitar 4,000 individu berada di dalam lombong tersebut, namun polis kemudian menyatakan bahawa angka tersebut mungkin hanya ratusan.

    Presiden Cyril Ramaphosa mempertahankan tindakan polis yang menyekat bekalan makanan dan air, dengan menyifatkannya sebagai langkah untuk memaksa para pelombong keluar dari tempat persembunyian. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda