Friday, May 9, 2025
31.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    14 tamat penempatan kerja terima sijil

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Seramai 14 orang pelajar Program Pra-Vokasional yang telah menamatkan penempatan kerja dengan Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd, menerima sijil masing-masing pada majlis yang berlangsung di syarikat berkenaan.

    Para pelajar berkenaan terdiri daripada 10 orang pelajar Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Sekolah Menengah Lambak Kiri yang mengikuti penempatan kerja selama dua hingga enam bulan berdasarkan permintaan sekolah di syarikat tersebut di Tapak Perindustrian Lambak Kanan.

    Manakala itu, empat orang pelajar dari Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam telah menjalani latihan penempatan kerja selama tiga bulan, Ogos hingga Oktober 2018 di sekolah membungkus rempah yang dibekalkan oleh Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd.

    Hadir semasa majlis berkenaan ialah Pengurus Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd, Haji Mohd Nooh bin Orang Kaya Maharaja Dinda Haji Saman yang menyampaikan sijil kepada para pelajar, pengetua-pengetua sekolah yang terlibat, pegawai-pegawai dari Unit Akademik Jabatan Sekolah-sekolah, guru-guru kelas dan pelajar yang diraikan.

    Bagi menghargai Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd, pengetua-pengetua dari lima buah sekolah menengah kerajaan masing-masing menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada Haji Mohd Nooh.

    Pelajar Program Pra-Vokasional dan pengetua sekolah masing-masing bergambar ramai bersama pihak pengurusan Syarikat Sabli Food Industries.

    Pengetua-pengetua dari lima buah sekolah menengah kerajaan masing-masing dalam ucapan mereka menghargai sokongan daripada Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd dalam menyokong Program Pra-Vokasional melalui peluang penempatan kerja bagi pelajar.

    Pelajar berkenaan telah menimba kemahiran, pengetahuan dan pengalaman bekerja yang sangat berharga.

    Mereka juga menghargai sokongan Unit Akademik Jabatan Sekolah-sekolah dalam membantu pihak sekolah menguruskan permohonan penempatan kerja dan menjalankan lawatan pemantauan bersama guru-guru di tempat kerja pelajar.

    Haji Mohd Nooh mewakili Pengarah Kumpulan Syarikat-syarikat Sabli, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Haji Sabli bin Haji Arsad dalam ucapannya memuji dan menyokong inisiatif yang diperkenalkan oleh Unit Akademik, Jabatan Sekolah-sekolah dalam membantu pihak sekolah memberi peluang kepada pelajar Program Pra-Vokasional dan guru menimba kemahiran kerja melalui aktiviti pembungkusan rempah dengan kerjasama dengan syarikat berkenaan di bawah Projek Pendedahan Kemahiran Kerja.

    Projek berkenaan merupakan satu platform bagi pelajar dan guru menimba kemahiran kerja melalui jalinan kerjasama antara pihak sekolah dengan syarikat tempatan di Brunei.

    Di bawah projek berkenaan, syarikat tempatan bekerjasama dengan sebuah sekolah dan memberi peluang pelajar menimba kemahiran kerja contohnya melalui pembungkusan rempah Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd di sekolah atau pelajar dan guru mengikuti kursus pendek di syarikat berkenaan.

    Ini akan diikuti dengan penempatan kerja pelajar di Tahun 10 dan Tahun 11 dengan syarikat berkenaan untuk seterusnya menimba pengalaman dan kemahiran kerja yang lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda