RIO DE JANEIRO, 3 APRIL – Hujan lebat menyebabkan banjir kilat dan tanah susur di seluruh negeri Rio de Janeiro, Brazil, mengakibatkan sekurang-kurangnya 14 orang terkorban termasuk lapan kanak-kanak, dan lima lagi hilang, menurut pihak berkuasa kelmarin.
Hujan lebat dua hari berturut-turut telah melanda kawasan pantai Atlantik di tenggara negeri itu, kejadian ribut kuat yang terkini di Brazil yang menurut pakar ia diburukkan lagi oleh perubahan iklim. Lebih banyak turunan hujan diramal di wilayah itu dalam tempoh beberapa hari.
Mangsa termasuk seorang ibu dan enam anaknya, yang tertimbus oleh tanah susur yang memusnahkan kediaman mereka, kata pegawai.
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro berkata melalui Facebook bahawa kerajaan persekutuan telah menghantar pesawat tentera untuk membantu dalam usaha menyelamat dan mengerahkan setia-usaha respons bencana kebangsaan, Alexandre Lucas ke negeri yang mempunyai 17.5 juta penghuni.
Kejadian terbaharu berlaku enam minggu selepas kejadian banjir kilat dan tanah susur mengorbankan 233 orang di bandar Petropolis, yang terletak di negeri Rio.
Kejadian kali ini, kawasan paling teruk terjejas ialah di bandar pelancongan, Paraty, bandar penjajah di tepi laut yang terkenal dengan jalan berbatu dan kediaman berwarna-warni. – AFP
