Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    140 belia mulakan pengajian di PPB

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Seramai 140 belia yang terpilih menjalani kursus di Pusat Pembangunan Belia (PPB) bagi sesi kemasukan Julai 2017 melafazkan ikrar mereka pada Majlis Pendaftaran Program Pembangunan Belia yang berlangsung di dewan pusat berkenaan hari ini.

    Para belia melafazkan ikrar mereka dihadapan Pemangku Penolong Pengarah PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman selaku ketua pusat tersebut dan ibu bapa serta penjaga para belia.

    Dalam ucapannya di majlis itu, Awang Haswandi memberitahu bahawa sebanyak 459 permohonan diterima daripada belia yang berminat untuk mengikuti kursus di pusat itu dan ini, menurutnya, merupakan jumlah permohonan terbesar pernah diterima oleh pusat berkenaan setakat ini.

    Daripada jumlah belia yang terpilih untuk mengikuti program di PPB, jelasnya lagi, 100 pemohon akan mengikuti program di PPB manakala 13 orang yang lain mengikuti Program Komuniti Berkemahiran di Cawangan Daerah Belait dan selebihnya mengikuti Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ).

    “Program PROPAZ ini dilaksankan dengan kerjasama di antara PPB dengan urus setia program berkenaan,” jelasnya.

    Antara pelatih baru yang menyertai dalam program kali ini.
    Antara pelatih baru yang menyertai dalam program kali ini.

    Awang Haswandi seterusnya menambah, sepanjang mengikuti kursus di pusat itu, para belia akan didedahkan dengan Program Pembangunan Belia yang mana ia merupakan program utama yang perlu dijalani dan diikuti oleh belia sepanjang mereka berkursus di pusat tersebut.

    Program ini mengandungi tiga komponen penting iaitu Program Latihan Kemahiran, Program Pembangunan Diri dan Program Penempatan Kerja yang mana ketiga-tiga komponen ini akan diserapkan ke dalam pengajaran dan pembelajaran yang dihasrat berupaya melahrkan belia yang berkemahiran menjelang 2035.

    Beliau juga memaklumkan ibu bapa dan penjaga bahawa sejak PPB melaksanakan Persijilan City & Guilds pada tahun 2015, pengambilan kemasukkan ke pusat tersebut dilaksanakan dua kali setahun iaitu untuk sesi Januari dan Julai.

    “Program sesi Julai akan mula dilaksanakan pada 17 Julai dan berakhir pada penghujung Disember 2017 manakala enam bulan seterusnya belia akan menjalani program penempatan kerja yang akan dilaksanakan pada Januari 2018,” jelasnya.

    Beliau seterusnya menjelaskan, dalam tempoh enam bulan pertama pengajian di pusat itu, para belia akan mengikuti kursus semi akademik seperti keusahawanan, agama, Bahasa Inggeris dan Matematik yang mana kursus ini merupakan nilai tambah kepada Program Latihan Kemahiran.

    Sehubungan itu, beliau menyeru kepada belia yang terpilih untuk tidak mensia-siakan peluang yang diberikan kerana ia merupakan peluang terbaik dan tidak akan datang berulang.

    “Pelajarilah ilmu yang diberikan oleh tenaga pengajar dengan sebaik mungkin dan belia juga diingatkan untuk sentiasa berusaha untuk berjaya,” tegasnya.

    Di samping itu, belia juga dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti peraturan dan disiplin yang ditetapkan oleh pusat berkenaan demi kebaikan dan kesejahteraan sepanjang berada di pusat itu.

    Pada tahun ini, sebanyak 10 kursus ditawarkan, antaranya Skill Proficiency Certificate in Basic IT in Office Application System, Skill Proficiency Certificate in Basic Food & Beverage Services dan Level 1 Certificate in Vehicle Accident Repair.

    Di majlis itu, taklimat mengenai peraturan PPB telah disampaikan oleh Pegawai Kesejahteraan, Haji Anuar bin Haji Ahmad.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda