Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    140 belia sertai BYLC 2023

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Seramai 140 orang belia dan pemimpin belia daripada pelbagai latar belakang menyertai Konvensyen Pemimpin Muda Brunei (BYLC) 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Dewan Serbaguna, Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan konvensyen ke-4 anjuran Perspective Insan Academy itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada mentor, rakan strategik, penaja dan penyokong sebelum mengadakan lawatan ke petak pameran yang memeriahkan lagi BYLC tersebut.

    Pengerusi BYLC 2023, Awang Iswandy bin Ahmad dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan beberapa kejayaan dan pencapaian golongan belia yang menghadiri konvensyen-konvensyen sebelum ini.

    Di samping itu, beliau turut menekankan akan kepentingan peranan belia dalam pembangunan negara untuk sama-sama mencapai Wawasan Brunei 2035, sekali gus menyeru golongan belia untuk terus mengambil peluang terbaik dalam melibatkan diri dengan pihak berkepentingan yang bekerjasama, terdiri daripada agensi kerajaan, sektor swasta, dan badan bukan kerajaan (NGO).

    Menurut kenyataan yang diberikan, konvensyen berkenaan adalah sebagai platform untuk para peserta bergiat lebih aktif dalam melaksanakan program dan projek yang dapat membantu dalam mencapai wawasan 2035.

    Sepanjang konvensyen berkenaan, para peserta berpeluang mendapatkan maklumat terperinci berkenaan Wawasan Brunei 2035, menghadiri forum, klinik mentor, mewujudkan rangkaian dan berinteraksi dengan mentor dan ahli-ahli panel, serta mengikuti aktiviti-aktiviti unik.

    BYLC 2023 turut diadakan bersempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2023 anjuran Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan tempatan dan antarabangsa termasuklah badan-badan berkanun, institusi-institusi pengajian tinggi, pihak berkepentingan dan juga agensi-agensi swasta.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi mengadakan lawatan ke salah satu petak pameran di Dewan Serbaguna, UTB, kelmarin. – Gambar oleh Azlan Othman
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda