Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    140 sertai latihan anjuran JBP

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Sebagai usaha untuk memastikan kesiapsiagaan anggota bomba dan penyelamat dalam menangani operasi memadam dan menyelamat, menguji kemahiran, koordinasi dan latihan praktikal serta meningkatkan kesedaran murid-murid, guru dan kakitangan sekolah dalam kejadian kecemasan, Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah mengadakan Latihan Kebakaran dan Pengosongan Bangunan di Sekolah Ugama Mulaut pada 9 Julai lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, latihan itu melibatkan seramai 140 orang guru, kakitangan dan murid Sekolah Ugama Mulaut.

    Dalam senario latihan kebakaran berkenaan, kebakaran terjadi pada sebuah bilik di tingkat satu bangunan sekolah itu dan latihan pengosongan dijalankan di seluruh kawasan bangunan bersama sembilan orang anggota JBP bersama dua buah jentera bomba dari Balai Bomba Jerudong yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Pegawai Balai Haji Mohamad bin Ibrahim.

    Latihan itu bermatlamat untuk memupuk rasa tanggungjawab dan mengambil berat mengenai aspek-aspek keselamatan kebakaran di sekolah, selain itu ia juga merupakan salah satu aktiviti bagi pihak sekolah untuk mengesahkan keberkesanan prosedur pengosongan bangunan yang efektif dan bersistematik serta untuk membolehkan interaksi, kerjasama dan mengeratkan hubungan di antara JBP dan pihak sekolah.

    Dalam kenyataan itu, JBP turut menyarankan bahawa kejadian kebakaran boleh berlaku pada bila-bila masa, oleh itu, adalah amat penting untuk meningkatkan kewaspadaan dan mengambil langkah-langkah keselamatan semasa cuaca tidak menentu, memastikan bahawa pemasangan dan penyambungan pendawaian elektrik dibuat oleh orang yang berkemahiran dan diiktiraf atau bertauliah serta mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

    Pihak bomba dan penyelamat juga menyarankan dan menasihatkan supaya sentiasa meningkatkan pencegahan kebakaran, tidak merasa cemas sekiranya berlaku sebarang kecemasan serta untuk menghubungi talian kecemasan bomba 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.

    Sebahagian daripada anggota bomba yang terlibat dalam latihan berkenaan. – Gambar oleh JBP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda