Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    140 wanita dibunuh setiap hari di rumah

    PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, 25 NOV – Rumah dikenal pasti sebagai tempat paling berbahaya bagi wanita, dengan purata 140 wanita dan kanak-kanak perempuan dibunuh setiap hari oleh pasangan atau ahli keluarga pada tahun lalu, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan hari ini.

    Laporan oleh UN Women dan Pejabat PBB untuk Dadah dan Jenayah (UNODC) menyatakan pembunuhan oleh pasangan intim atau ahli keluarga menyumbang kepada kematian kira-kira 51,100 wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia pada 2023, meningkat berbanding anggaran 48,800 mangsa pada 2022.

    Laporan itu, yang diterbitkan sempena Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita, menyatakan peningkatan angka sebahagian besarnya disebabkan oleh lebih banyak data tersedia dan bukannya peningkatan kes pembunuhan.

    Namun begitu, kedua-dua agensi PBB itu menegaskan bahawa wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia terus terkesan oleh bentuk keganasan berasaskan jantina yang melampau itu, tanpa ada wilayah yang terkecuali. Agensi tersebut menambah, “rumah merupakan tempat paling berbahaya bagi wanita dan kanak-kanak perempuan.”

    Laporan itu mendapati bahawa jumlah tertinggi pembunuhan pasangan intim dan ahli keluarga berlaku di Afrika, dengan anggaran 21,700 mangsa pada 2023. Afrika juga mencatat kadar tertinggi pembunuhan berbanding saiz populasinya, iaitu 2.9 mangsa bagi setiap 100,000 penduduk.

    Kadar pembunuhan turut tinggi di Amerika (1.6 mangsa per 100,000 penduduk) dan Oceania (1.5 per 100,000). Sebaliknya, Asia dan Eropah mencatat kadar lebih rendah, masing-masing pada 0.8 dan 0.6 mangsa per 100,000. – AP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda