Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Penerbangan khas kelapan yang membawa 140 orang warga India yang terkandas di negara ini telah berlepas ke Coimbatore, Tamil Nadu di selatan India hari ini.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar dan pegawai-pegawai Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi India, objektif penerbangan pulang yang dikendalikan oleh Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) tersebut adalah untuk membantu warganegara India untuk sampai ke destinasi masing-masing di India supaya mereka dapat berada bersama orang-orang terdekat dan tersayang sebelum permulaan tahun baharu.
Penerbangan berkenaan dikendalikan dengan mematuhi garis panduan berkaitan pandemik COVID-19 dan protokol operasi standard yang ditetapkan kementerian-kementerian kerajaan India.
Kejayaan perlaksanaan penerbangan berkenaan adalah hasil kerjasama daripada pihak RB, persatuan-persatuan India iaitu Persatuan India Belait (IAB), Persatuan Malayali (MA) dan persatuan-persatuan India lain di negara ini bagi memastikan proses pemulangan dan operasi penerbangan carter berkenaan berjalan lancar.
Sejak 3 Julai lalu, seramai 1,107 orang warga India yang terkandas telah berjaya dihantar melalui beberapa sesi penerbangan seumpamanya diungkayahkan suruhanjaya itu.
