Friday, February 28, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    1,400 khatam Al-Quran 41 kali

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Seramai 1,400 orang telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran 41 Kali Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK-41), tahun 2025 anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang diadakan secara serentak di keempat-empat daerah, hari ini.

    Majlis diadakan secara serentak di keempat-empat daerah pada dengan tumpuan utama bagi Daerah Brunei dan Muara di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, KKBS, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Awang Mohamad.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menghadiri majlis tersebut di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KKBS

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Johan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1445H/2024M, Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abdul Rajid, yang diikuti dengan bacaan khatam Al-Quran mulai dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad yang dikepalai oleh penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan diteruskan dengan bacaan Takhtim Al-Quran yang dikepalai oleh Awang Mohammad Hafizuddin bin Mohammad Sainin, mahasiswa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    Bacaan khatam Al-Quran dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad yang dikepalai oleh penuntut-penuntut ITQSHHB. – GAMBAR SERAHAN KKBS

    Sementara itu, Doa Khatam pula dibacakan oleh penuntut ITQSHHB dan diikuti dengan Dikir Marhaban oleh Pertubuhan WARGAMAS (PW), Haji Alihassan bin Haji Ahmad. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Awang Abdul Qawiyyel Azeez.

    Suasana majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KKBS

    Bagi Daerah Belait, majlis diadakan di Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, KHEU, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran mulai daripada Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad yang diketuai oleh Awang Muhammad Nur Adiib bin Awang Haji Lugman, Belia Masjid RPN Kampung Pandan dan diteruskan dengan bacaan Takhtim Al-Quran diketuai oleh ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE), Daerah Belait, Dr Zulkifli bin Haji Zakaria dan bacaan Doa Khatam oleh Awang Mohammad Luthfi Rafa’ie bin Mohammad Amli, penuntut dari Sekolah Arab Belait.

    Majlis kemudian diteruskan dengan Dikir Marhaban daripada Ahli Takmir Masjid RPN Kampung Pandan dan diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Imam Masjid RPN Kampung Pandan, Awang Abdul Qayyuum bin Haji Aminuddin.

    Manakala di Daerah Tutong pula, majlis telah diadakan di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam (PAHMA), Kampung Sengkarai yang dihadiri oleh tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Polis Diraja Brunei, Yang Amat Mulia SAC Pengiran Anak Haji Mohd Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji ldris.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran mulai daripada Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad yang dikepalai oleh Awang Muhd Syahmi bin Muhd Norawi, penuntut Mahad Islam Brunei dan diteruskan dengan bacaan Takhtim Al-Quran diketuai oleh Dayang Qaisara Syamina binti Kamarulzaman, penuntut Sekolah Menengah Sufri Bolkiah. Doa Khatam pula dibacakan oleh Awang Muhammad Nur Hafizan @ Nur Syafizan bin Saban, Belia Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan seterusnya Dikir Marhaban diketuai oleh kumpulan dikir Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Imam Masjid PAHMA, Kampung Sengkarai, Awang Abdul Raqib bin Haji Awang.

    Sementara di Daerah Temburong, tumpuan majlis adalah di Masjid RPN Kampung Rataie dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Brigadier General (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat malis, diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran mulai daripada Surah Ad-Dhuha hingga Surah al-Masad yang diketuai oleh Awang Muhammad Muizzuddin bin Mohammad Jamalludin, penuntut Sekolah Arab Temburong kemudian diteruskan dengan bacaan Takhtim Al-Quran dikepalai oleh Awang Julhermie bin Haji Mohd Salleh, imam Masjid RPN Kampung Rataie. Doa Khatam pula dibacakan oleh Ketua Belia Masjid RPN Kampung Rataie, Awang Zulkhairi bin Azamy. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Imam Masjid RPN Kampung Rataie, Awang Mahdini bin Khamis.

    GAMBAR SERAHAN KKBS

    Antara lain tujuan majlis berkenaan adalah untuk menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun HK-41, dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat, terutamanya dengan pembacaan Al-Quran selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir. Majlis berkenaan secara tidak langsung akan dapat mempertingkatkan dan mengukuhkan lagi persefahaman serta kerjasama antara agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia serta masyarakat ke arah menggalakkan penglibatan belia dan masyarakat dalam aktiviti keagamaan.

    Para peserta khatam dari keempat-empat daerah berkenaan terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi, penuntut-penuntut Institusi Pendidikan Teknikal Brunei, penuntut-penuntut maktab dan sekolah menengah, sekolah arab, ahli-ahli persatuan belia dan sukan serta pergerakan-pergerakan belia, pelatih Pusat Pembangunan Belia (PPB), sukarelawan-sukarelawan, belia-belia masjid, ahli-ahli PW dan PKWE serta qari dan qariah.

    GAMBAR SERAHAN KKBS
    GAMBAR SERAHAN KKBS

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda