Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Dalam usaha memberikan bantuan dan sokongan kepada guru-guru untuk meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan melalui perkongsian amalan-amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran, seramai 142 tenaga pengajar persekolahan Arab, agama serta Institut Thafiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, menerima sijil bagi Program At-Tatweer: Bengkel Pengajaran dan Pembelajaran serta Learning Walk 2023 hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok dan seterusnya menyampaikan sijil kepada peserta bengkel berkenaan ialah Pengarah Pengajian Islam, Jabatan Pengajian Islam, Haji Shamshol bin Haji Omar.
Haji Shamshol dalam ucapannya antara lain menggariskan objektif program untuk meningkatkan kapasiti sumber tenaga manusia khususnya tenaga-tenaga pengajar agar lebih berpengetahuan, berkemahiran serta kompeten dalam pengajaran dan pembelajaran dengan mendedahkan mereka kepada Rangka Kerja Pengajaran Berasaskan Penguasaan.
Selain itu, ia bertujuan mendukung Rancangan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama 2020-2024 melalui Fokus Strategik, Pendidikan Ugama/Arab Berkesan yang disejajarkan dengan salah satu matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Beliau berkata Program At-Tatweer ini bukan sahaja menyentuh mengenai penstrukturan dan perancangan pengajaran secara umum bahkan ia juga menyentuh mengenai pengajaran secara dialog.


Ini termasuk teknik-teknik penyoalan, jenis-jenis soalan serta cara-cara memberikan respons kepada pelajar-pelajar yang mana kemahiran teknik penyoalan ini adalah sangat penting untuk guru-guru menguasainya bagi proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.
Katanya lagi, “Program turut menitikberatkan tentang reka bentuk tugasan yang disesuaikan menurut tahap keperluan pelajar dan pembelajaran kolaboratif yang menggunakan kaedah-kaedah seperti Jigsaw, Envoy, Snowball serta penggunaan ICT dan sumber-sumber dalam pengajaran”.
Beliau seterusnya menjelaskan program tersebut memberikan imbal balik yang sangat relevan dan bermanfaat bukan sahaja kepada para peserta dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dalam kerjaya perguruan bahkan memberikan kemantapan ilmu kepada semua fasilitator-fasilitator yang terlibat.
“Peserta juga diharap dapat memanfaatkan dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh melalui program ini untuk kepentingan pembelajaran pelajar yang mana Rangka Kerja Pengajaran Berasaskan Penguasaan ini, sedikit sebanyak dapat membantu dalam mencapai proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan,” tambahnya.
Pada majlis itu, tetamu kehormat dan jemputan lain berpeluang melihat lebih dekat demonstrasi teknik pengajaran dan pembelajaran yang telah diajarkan semasa bengkel dijalankan di kelas-kelas yang terpilih semasa sesi Learning Walk.
Bengkel yang diadakan selama empat minggu itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran profesionalisme guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, kemahiran ICT, kreativiti, penganalisian dan penilaian, penggunaan sumber serta semangat kerjasama dengan rakan sekerja.

