KINSHASA, 20 APRIL – Kira-kira 143 orang maut dan puluhan lagi dilaporkan hilang selepas sebuah bot yang membawa bahan api terbakar dan karam di Republik Demokratik Congo, menurut pegawai pada Jumaat.
Ratusan penumpang berada di atas sebuah bot kayu di Sungai Congo di barat laut DRC pada Selasa apabila kebakaran tercetus, kata Josephine-Pacifique Lokumu, ketua delegasi timbalan kebangsaan dari wilayah tersebut. Tragedi itu berlaku berhampiran Mbandaka, bandar Wilayah Equateur, di pertemuan antara Sungai Ruki dan Sungai Congo yang luas, sungai paling dalam di dunia.
“Kumpulan pertama yang terdiri daripada 131 mayat ditemui pada hari Rabu, dengan 12 lagi ditemui pada Khamis dan Jumaat. Beberapa daripadanya rentung,” kata Lokumu kepada AFP. Joseph Lokondo, seorang pemimpin masyarakat sivil tempatan yang berkata beliau membantu mengebumikan mayat-mayat itu, meletakkan “anggaran sementara korban maut pada 145, ada yang terbakar, yang lain lemas.” – AFP
