Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    143 mualaf tamat Skim Bimbingan Lanjutan II

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Seramai 143 orang telah berjaya menamatkan Skim Bimbingan Mualaf Lanjutan II dan menerima sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen Skim Bimbingan Mualaf Ke-2, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) bagi 2023, yang berlangsung di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Daripada jumlah itu, 45 orang peserta dari Daerah Brunei dan Muara, 36 dari Daerah Tutong, 34 dari Daerah Belait dan 28 dari Daerah Temburong.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Pemangku Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya berkata, majlis berkenaan antara lain bertujuan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada peserta dalam kalangan mualaf yang telah berjaya mengikuti skim-skim bimbingan mualaf yang dianjurkan oleh PDI.

    Ia juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta-peserta mualaf dari keempat-empat daerah, di samping untuk menghargai potensi dan komitmen peserta-peserta.

    Selain itu, ia juga dihasratkan untuk membina keyakinan para peserta supaya sentiasa mempelajari, menghayati dan mengamalkan ilmu agama Islam dalam kehidupan seharian.

    Beliau turut mengongsikan, pada tahun depan, Skim Tilawah Mualaf akan mula diadakan bagi persiapan menyertai Musabaqah Tilawah Al-Quran bagi Mualaf yang akan diadakan pada 2025.

    Sebelum penyampaian sijil pada majlis itu, pengumuman peserta terbaik Skim Bimbingan Lanjutan II setiap daerah dan penerima Anugerah Pengarah telah dibacakan oleh Pemangku Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, Dr Hajah Rohanita binti Haji Yaakub.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin menyempurnakan penyampaian sijil kepada salah seorang peserta skim. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Haji Ahmad Abdussalam semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.- GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda