Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    144 projek bernilai RM14 bilion dilaksana kerajaan MADANI di Sabah

    TAWAU, 11 MEI – Kerajaan MADANI telah melaksanakan sebanyak 144 projek pembangunan di Sabah setakat ini, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM14 bilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata antara projek yang terlibat termasuk kerja-kerja menaik taraf Hospital Tawau dan Penjara Lahad Datu, pembinaan pelabuhan kontena di Sepanggar Bay serta cadangan pembinaan sebuah pusat perubatan jantung di Kota Kinabalu.

    Anwar berkata kerajaan turut memperuntukkan lebih RM350 juta bagi pelaksanaan Program Solar MADANI, yang menyaksikan Tawau dipilih sebagai lokasi projek rintis, melibatkan pemasangan 40 tiang lampu solar hasil kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan penglibatan komuniti setempat.

    “Kita laksanakan apa yang terbaik untuk rakyat, termasuk menangani masalah kos elektrik, kos tenaga, keperluan sekolah anak-anak, tandas, makmal sains serta keperluan anggota polis dan tentera seperti perumahan dan pembaikan jalan,” katanya ketika menyempurnakan perasmian penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini hari ini.

    Menurut Anwar, dalam tempoh lebih dua tahun ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan MADANI, namun beliau mengakui masih terdapat kekangan tertentu.

    Dalam ucapannya, Anwar turut mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan kedai dan gerai kecil di seluruh Sabah menerusi Projek Siap Tamu Sabah.

    “Sempena sambutan Hari Ibu hari ini, ini hadiah kepada para ibu yang ramai berniaga di Tamu Desa ini, supaya penambahbaikan yang dilakukan dapat memberi lebih keselesaan agar dapat berniaga dan berteduh daripada kepanasan dan hujan. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) diberi taklimat ketika melawat reruai pameran Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi pada penutup Program MADANI Rakyat (PMR) di Dataran Majlis Perbandaran Tawau kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda