Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    145 dianugerahkan PKLP

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Seramai 145 orang pegawai dan anggota pangkat rendah Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima Pingat Kerja Lama Polis (PKLP) dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat PPDB, Gadong, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.

    Di samping mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, pengiktirafan itu juga dapat meningkatkan semangat dan menyuntik motivasi para warga polis untuk terus mencurahkan bakti pada kerajaan dan juga negara.

    Ia merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada para penjawat awam yang telah berkhidmat selama 20 tahun.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar sebelum penyampaian pingat-pingat kepada para penerima yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, para pengarah dan timbalan pengarah serta pegawai-pegawai kanan.

    Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan semasa menyampaikan pingat kepada salah seorang penerima. – Gambar serahan PPDB
    Antara yang hadir semasa majlis berkenaan, baru-baru ini. – Gambar serahan PPDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda