Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Seramai 146 pegawai dan tenaga pengajar telah menerima Sijil Pelantikan di bawah Program Mursyidul Mu’allim (Pembimbing Guru) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Kenaziran.
Majlis penyampaian sijil berkenaan berlangsung di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok, petang kelmarin.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Hajah Mariana binti Haji Jamil yang turut menyampaikan sijil kepada para penerima.

Program berkenaan disasarkan kepada pasukan pengurusan di persekolahan Arab dan Ugama seluruh negara bagi meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan profesionalisme dalam memastikan pengajaran yang disampaikan oleh guru-guru sentiasa menepati standard, berkualiti tinggi dan berkesan.
Program Mursyidul Mu’allim ini juga merupakan salah satu inisiatif JPI dalam mendukung Pelan Strategik KHEU 2025–2029 bagi mencapai matlamat Wawasan Negara 2035 iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Semua di atas: Antara yang menerima pelantikan semasa majlis berkenaan. – Gambar-gambar serahan JPI

