TAWAU, 10 FEB – Sebanyak 149 kes jenayah komersial dilaporkan di sini tahun lepas dengan kerugian dianggar bernilai RM98.7 juta, kata Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin.
Beliau berkata jenayah penipuan panggilan telefon mencatatkan kes tertinggi dengan 45 kes. “Mangsa jenayah ini termasuk golongan berpendidikan tinggi, jadi sebab itu saya nasihati masyarakat supaya sebarang urusan lebih baik dilaksanakan di pejabat terlibat daripada terus mempercayai sebarang panggilan yang kita terima dengan mendakwa daripada jabatan-jabatan berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Jasmin turut menasihati semua mangsa yang terlibat agar tampil membuat laporan polis kerana siasatan boleh dilakukan termasuk mengesan penjenayah terlibat atau mengambil tindakan lain sama ada melalui institusi kewangan dan sebagainya.
Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan bagi menimbulkan kesedaran masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang panggilan tawaran yang tidak munasabah.
“Saya juga menggesa semua pihak memperbanyakkan hebahan melalui saluran media seperti Facebook Polis Tawau berkaitan kes scam (penipuan) supaya masyarakat mendapat maklumat sekali gus tidak mudah terperdaya,” katanya. – Bernama
