Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    149 pegawai JPM terima P.K.L

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Para penerima Pingat Kerja Lama (P.K.L) dan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) diseru untuk terus sentiasa meningkatkan semangat dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam memperkesankan jentera Perkhidmatan Awam di negara ini.

    “Di samping, akan dapat mengongsi pemikiran (mindset) yang positif dan budaya kerja yang cemerlang dalam kalangan pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam.”

    Seruan itu dibuat oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Hal Ehwal Korporat dan Pentadbiran Awam) di JPM, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan selaku pengerusi majlis dalam kata alu-aluannya di Majlis Penyampaian Pingat Kerja Lama (P.K.L) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-jabatan di bawahnya bagi Tahun 2016.

    “Selaku warga JPM, kita sama-sama hendaklah secara berterusan dengan seikhlasnya menjunjung setinggi-tingginya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam kali ke-23, tahun 2016 iaitu antara lain titah Baginda: Negara adalah benar-benar berhajat kepada khidmat para penjawat awam. Melalui perkhidmatan merekalah akan dapat ditingkatkan produktiviti dan penghasilan negara,” tambah beliau di majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, hari ini.

    Hadir di majlis berkenaan dan menyempurnakan penyampaian P.K.L kepada seramai 149 orang penerima ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan II (Kedua) Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim menyempurnakan penyampaian Pingat Kerja Lama (P.K.L) kepada salah seorang penerima dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, kelmarin.
    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan II (Kedua) Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim menyempurnakan penyampaian Pingat Kerja Lama (P.K.L) kepada salah seorang penerima dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, kelmarin.
    Yang Berhormat Pehin menyampaikan P.K.L kepada para penerima.
    Yang Berhormat Pehin menyampaikan P.K.L kepada para penerima.

    Turut hadir ialah Pemangku Menteri Tenaga dan Perindustrian di JPM, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud; Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh, timbalan menteri di JPM, pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, timbalan mufti kerajaan, pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, juruaudit agung, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, para pegawai dan kakitangan di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Awang Abdul Walid dalam kata alu-aluannya juga menyatakan bahawa majlis itu mencerminkan keprihatinan dan penghargaan Baginda Sultan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam atas sumbangan perkhidmatan yang cemerlang serta ketaatsetiaan mereka yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Baginda Sultan.

    Di samping itu, ulasnya lagi, penerima-penerima P.K.L adalah mereka yang telah berjaya memberikan sumbangan yang bermanfaat kepada perkhidmatan awam di sepanjang tempoh tidak kurang 20 tahun perkhidmatan mereka serta mempunyai sikap yang berintegriti, jujur lagi amanah sebagai warga perkhidmatan awam di negara ini.

    “Sudah setentunya sumbangan dan jasa bakti bagi setiap penerima P.K.L pada pagi ini adalah sangat dihargai dan akan dilihat sebagai penjawat awam yang bertauladan dan dicontohi dalam perkhidmatan awam di negara ini.”

    Antara penerima P.K.L yang diraikan.
    Antara penerima P.K.L yang diraikan.

    Penyampaian P.K.L kepada seramai 149 orang pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya itu adalah bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun bagi tahun 2016.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Aziz bin Haji Yassin dan diikuti oleh ucapan alu-aluan oleh Awang Abdul Walid.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian pingat kepada para penerima oleh Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Haji Aziz.

    Penganugerahan pingat berkenaan merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada para penjawat awam yang berkhidmat lebih 20 tahun.

    Di samping mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, pengiktirafan ini juga dapat meningkatkan motivasi para penerima untuk terus mencurahkan bakti kepada kerajaan dan negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda