Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    15 ahli MMN sertai muzakarah

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Seramai 15 orang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang diketuai oleh Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir telah menghadiri Sesi Muzakarah Kementerian Kesihatan bersama ahli-ahli MMN yang berlangsung di Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), hari ini.

    Hadir untuk mempengerusikan sesi muzakarah berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr Haji Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan.

    Semasa sesi muzakarah berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyentuh mengenai peranan Kementerian Kesihatan selaku salah sebuah jentera penggerak kerajaan yang akan terus berusaha gigih sebagai satu pasukan yang mantap dalam melaksanakan strategi kesihatan yang dirancang.

    Beliau juga mengongsikan beberapa inisiatif yang sedang dan akan diusahakan dalam mendukung pembangunan sistem dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih cekap, efisien, berkualiti dan berteraskan penjagaan berpaksikan rakyat dengan tenaga kerja kesihatan yang profesional, dinamik, progresif dan penuh pemedulian.

    Yang Berhormat Dato turut menekankan kerjasama padu daripada semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), ketua-ketua akar umbi serta semua lapisan masyarakat, adalah penting dalam sama-sama berganding bahu menjalankan tanggungjawab menjaga kesihatan dan keselamatan awam bagi kesejahteraan dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.

    Majlis seterusnya menyaksikan Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman menyampaikan ucapan balas dan diikuti dengan sesi taklimat mengenai gambaran keseluruhan Kementerian Kesihatan yang disampaikan oleh Dr Ang Swee Hui.

    Sesi muzakarah kemudian diteruskan dengan sesi dialog antara ahli-ahli MMN dengan Kementerian Kesihatan di mana ia diadakan dalam suasana silaturahim, muhibah dan secara terbuka.

    Ia adalah untuk memberikan peluang bagi berkongsi idea, maklumat, isu, pandangan dan cadangan yang sudah setentunya akan memberi manfaat kepada Kementerian Kesihatan dalam usahanya meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan demi kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan bersama ahli-ahli MMN diberikan penerangan semasa mengadakan lawatan ke perkhidmatan-perkhidmatan yang terdapat di PJSC, kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda