Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Seramai 15 orang ahli pengakap telah menerima lencana keahlian pengakap sedunia semasa Majlis Perasmian Pasukan Pengakap Terbuka Lamunin 2032 dan Istiadat Melantik dan Penyampaian Lencana Keahlian Pengakap Sedunia yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Dataran Gong Tiga, Kampung Lamunin, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hadir untuk menyempurnakan perasmian PPTLamunin 2032 ialah Penghulu Mukim Lamunin, Awang Mohammad Jaafar bin Haji Tinggal. Pada majlis berkenaan, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi MPK Kampung Lamunin, Mejar (B) Jumaat bin Mail, selaku wakil Penganjur Pasukan 2032.
Pada majlis berkenaan, seramai 15 orang ahli pengakap yang terlibat adalah terdiri daripada 6 orang pengakap muda, 5 orang pengakap remaja, 3 orang pengakap kelana dan seorang pengakap AIS.
Lencana keahlian pengakap telah disampaikan oleh Pemangku Pesuruhjaya Daerah, Persatuan Pengakap Daerah Tutong, Skip Haji Mohd Sufian bin Haji Abdul Karim. Sementara itu, Awang Mohammad Jaafar telah mengalungkan skaf pengakap kepada penerima-penerima lencana.


Pada majlis itu juga, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Skip Md Arif bin Haji Abdul Hadi telah menyampaikan sijil-sijil keahlian sementara Pemimpin Pasukan Pengakap Terbuka Lamunin 2032, Skip Nur Yasaran binti Bayan menyampaikan sijil-sijil kegiatan kepada ahli-ahli pengakap.




