Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Sebagai usaha ke arah meningkatkan penglibatan pihak yang berkepentingan untuk terus berkerjasama memperkasa sokongan dan menghakis stigma, majlis penyerahan sumbangan peralatan dan persediaan penggal persekolahan bagi sesi awal tahun 2019 telah diadakan di Sumbangsih Mulia Beribi, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
Sumbangan daripada Persatuan Almas tersebut akan disalurkan khusus kepada 15 orang anak rakan seliaan dengan kerjasama Jawatankuasa Aftercare (PROTEM) Brunei Darussalam (jawatankuasa bertindak khusus bagi Program Rakan Seliaan) dan Bahagian Reintegrasi Penjara.
Ia merupakan satu penghargaan kepada rakan seliaan (bekas penghuni atau Aftercare peers) yang telah menunjukkan kegigihan dan kemahuan untuk berdikari dalam aspek perekonomian atau perusahan.
Selain itu, program-program lain turut disediakan bagi menyokong serta mengalakkan mereka agar turut menyumbang kepada keharmonian masyarakat dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Hadir mewakili pemberi sumbangan ialah Pengerusi Almas Volunteer Club, Dayang Siti Mariana binti Haji Makbar dan disampaikan oleh Penasihat Kehormat Jawatankuasa Aftercare (PROTEM) Brunei Darussalam (jawatankuasa bertindak khusus bagi Program Rakan Seliaan), Pengiran Haji Harris bin Haji Pengiran Haji Duraman.
Antara program yang akan dijalankan tahun 2019 ialah Program Jalinan Kasih Rakan Seliaan dan Keluarga pada bulan Januari 2019, Festival Makanan, Expo Jualan dan Persembahan Kebudayaan pada bulan Mac 2019 serta Majlis Khatam Al-Quran pada bulan Ramadan.

