GAZA, 21 APRIL – Agensi pertahanan awam Gaza hari ini telah menuduh tentera Israel melakukan ‘hukuman mati tanpa bicara’ dalam insiden pembunuhan 15 anggota penyelamat bulan lalu, sambil menolak hasil siasatan dalaman tentera Israel.
Anggota perubatan dan penyelamat itu terbunuh ketika mereka bertindak balas terhadap panggilan kecemasan berhampiran bandar Rafah di selatan Gaza pada awal 23 Mac, beberapa hari selepas serangan baharu Israel ke atas wilayah yang dikuasai Hamas itu.
Antara yang terkorban ialah lapan kakitangan Bulan Sabit Merah, enam dari agensi penyelamat pertahanan awam Gaza dan seorang pekerja UNRWA, agensi PBB untuk pelarian Palestin, menurut agensi kemanusiaan PBB OCHA dan penyelamat Palestin.
“Video yang dirakam oleh salah seorang paramedik membuktikan naratif pihak pendudukan Israel adalah palsu dan menunjukkan mereka telah melakukan hukuman mati tanpa bicara,” kata pegawai pertahanan awam Mohammed Al-Mughair kepada AFP, sambil menuduh Israel cuba ‘mengelak’ daripada tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa.
Selepas kejadian tembakan itu, Bulan Sabit Merah mengeluarkan video yang diperoleh daripada telefon salah seorang mangsa. Walaupun video itu tidak menunjukkan hukuman mati secara langsung, ia jelas bercanggah dengan versi yang dikemukakan oleh tentera Israel.

Khususnya, video itu telah menunjukkan dengan jelas, ambulans-ambulans yang terbabit menggunakan siren, lampu berkelip dan lampu utama. Tentera Israel sebelum ini mendakwa ambulans berkenaan bergerak secara ‘mencurigakan’ dan tanpa lampu.
Insiden itu mencetuskan kecaman antarabangsa, termasuk kebimbangan mengenai kemungkinan jenayah perang oleh Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk.
Siasatan tentera Israel yang diumumkan kelamrin menyatakan ‘tiada bukti untuk menyokong dakwaan hukuman mati’ atau ‘tembakan rambang’ oleh tenteranya, namun mengakui terdapat kegagalan operasi dan memecat seorang komander lapangan.
Mangsa-mangsa yang dikebumikan dalam pasir oleh tentera Israel hanya ditemui beberapa hari selepas serangan tersebut, dari apa yang digambarkan oleh OCHA sebagai sebuah ‘kubur besar’. – AFP