Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    15 baki pakej Pan Borneo dalam proses penilaian akhir

    KOTA KINABALU, 9 JULAI – Sebanyak 15 Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dijangka dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

    Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata kerajaan komited untuk memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut perancangan awal iaitu melantik kontraktor untuk kesemua baki 19 pakej kerja pada tahun ini.

    “Empat kontraktor telah dilantik dan telah memulakan pembinaan sejak April tahun ini manakala 15 pakej kerja bagi Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1B kini dalam proses penilaian akhir tender prakelayakan terbuka. Pakej ini sudah siap dinilai tender dan telah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan.

    “Lembaga Perolehan Kementerian Kerja Raya telah bermesyuarat pada 3 Julai lepas dan seterusnya akan mengemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk memuktamadkan keputusan. SST kepada kontraktor dijangka dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini,” katanya pada Persidangan DUN Sabah hari ini.

    Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) yang ingin tahu tindakan Kerajaan Sabah untuk mempercepat proses tender bagi projek Pan Borneo seperti yang dikatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penutup Pesta Kaamatan 2024 Peringkat Negeri Sabah, Mei lepas.

    Shahelmey berkata secara keseluruhan daripada 35 jumlah pakej bagi Projek Pan Borneo Fasa 1A dan 1B, sebanyak empat pakej sudah siap dibina, 15 pakej dalam peringkat pembinaan manakala 16 pakej dalam peringkat perolehan.

    Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan RM26.3 bilion bagi menyiapkan 35 pakej kerja Pan Borneo Fasa 1 dengan kos pembinaan secara keseluruhannya dianggar sebanyak RM18.5 bilion. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda