Wednesday, February 12, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    15 belia sertai Kursus Taranum Al-Quran

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Seramai 15 orang belia menyertai Kursus Taranum Al-Quran bagi Peringkat Pra-Lanjutan yang telah dilancarkan pada majlis di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini.

    Para peserta berkenaan, 11 lelaki dan empat perempuan, terdiri daripada pelajar lepasan dari Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR), Jabatan Pengajian Islam (JPI), KHEU.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan yang turut menyempurnakan pelancaran kursus.

    Dalam ucapannya, tetamu kehormat berkata, pelajar-pelajar lepasan STAR adalah daripada kalangan belia yang telah dilatih dan dibimbing dalam pembacaan Al-Quran melalui lagu-lagu tilawah yang masyhur ketika mereka berumur antara 12 hingga 18 tahun.

    “Alhamdulillah, STAR yang di bawah kawalan JPI, sejak ia ditubuhkan 26 tahun lalu (31 Ogos 1997) telah berjaya melahirkan qari dan qariah yang membaca dengan baik, malah ada yang telah mengikuti persembahan dan pertandingan membaca Al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bergambar ramai semasa majlis pelancaran kursus berkenaan. – Gambar oleh Yusrin Junaidi

    Beliau juga difahamkan, bahawa Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran sebelum ini, ada mengungkayahkan Kursus Taranum Al-Quran pada 2017 hingga 2019 dengan mendatangkan fasilitator dari luar negara dan dalam negara.

    Inisiatif itu, tambahnya, akan diteruskan dengan membukakan Kursus Peringkat Lanjutan yang mana pengisian program atau modul-modul kursusnya adalah lebih intensif termasuk akan mendatangkan qari dan qariah tersohor dan pakar dalam bidang taranum Al-Quran peringkat antarabangsa.

    Dalam kursus lanjutan itu nanti, guru vokal yang berkemahiran dan berpengalaman dijangka akan didatangkan bagi melatih seni suara, jelas Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim.

    Kursus anjuran KHEU melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS dengan kerjasama JPI itu merupakan aktiviti tahunan Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS.

    Objektifnya adalah untuk memberikan peluang kepada para belia mendalami disiplin ilmu taranum Al-Quran secara bertalaqqi dengan guru berkemahiran agar dapat melahirkan lebih ramai qari dan qariah daripada kalangan belia yang berkebolehan sehingga dapat menjadi kebanggaan masyarakat dan negara.

    Di samping itu, mereka juga dapat mengembangkan disiplin ilmu-ilmu taranum dengan lebih luas bermula dari peringkat asas sehingga ke peringkat profesional.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda