Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    15 cedera dalam bantahan di Sri Lanka

    COLOMBO, SRI LANKA, 26 FEB – Polis di Sri Lanka hari ini melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang marah terhadap keputusan untuk menangguhkan pilihan raya tempatan selepas kerajaan berkata ia tidak dapat membiayai mereka kerana krisis ekonomi negara yang melumpuhkan.

    Kira-kira 15 orang telah dirawat kerana cedera ringan, menurut Hospital Nasional Colombo.

    Beribu-ribu penyokong parti pembangkang Kuasa Rakyat Kebangsaan cuba berarak ke daerah perniagaan utama di ibu negara Colombo, mengabaikan amaran polis selepas perintah mahkamah menegah mereka daripada memasuki kawasan itu, termasuk kediaman presiden, pejabat dan beberapa bangunan utama kerajaan.

    Perintah itu telah diperoleh dengan berlatarbelakangkan protes besar-besaran Julai lalu, apabila beribu-ribu orang menyerbu pejabat dan kediaman presiden dan mendudukinya selama beberapa hari.

    Krisis itu memaksa Presiden Gotabaya Rajapaksa ketika itu meninggalkan negara dan meletakkan jawatan.

    Kegawatan itu berpunca daripada kekurangan teruk beberapa makanan, bahan api, gas memasak dan ubat-ubatan, selepas Sri Lanka muflis kerana tidak dapat membayar balik hutang asingnya.

    Presiden baharu, Ranil Wickremesinghe, mengadakan rundingan pakej penyelamat dengan Tabung Kewangan Antarabangsa berjumlah AS$2.9 bilion dalam tempoh empat tahun, tetapi ia boleh dimuktamadkan hanya jika pemiutang Sri Lanka memberi jaminan mengenai penstrukturan semula hutang. – AP

    Mangsa cedera semasa pertempuran dengan polis di Colombo, Sri Lanka pada 26 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda