Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Bagi meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana demi kesejahteraan mereka sekeluarga, seramai 15 orang ketua keluarga kelmarin menerima bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Majlis penyampaian sumbangan berlangsung di Dewan Citra Budaya, KKBS dan disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh.
Menurut yang dikeluarkan oleh JAPEM kelmarin, satu ketua keluarga daripada 15 yang menerima bantuan kewangan adalah mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah, empat ketua keluarga terlibat dalam kejadian rumah roboh, lima ketua keluarga terlibat dalam kejadian banjir dan lima ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian angin kencang.
Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian bencana tersebut dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemberian bantuan kewangan ini merupakan usaha bagi menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.