BEIRUT, 19 OGOS – Serangan roket ke atas pasar yang sesak di sebuah bandar yang dikuasai pejuang pembangkang disokong Turki di utara Syria membunuh sekurang-kurangnya 15 orang awam dan mencederakan berpuluh-puluh orang, lapor kumpulan paramedik.
Serangan ke atas bandar al-Bab berlaku beberapa hari selepas serangan udara Turki membunuh sekurang-kurangnya 11 tentera Syria dan pejuang Kurdish yang disokong Amerika Syarikat (AS). Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria dan pemantau perang pembangkang menyalahkan tentera kerajaan Syria atas serangan itu, berkata ia sebagai tindakan balas terhadap serangan udara Turki.
Badan pemerhati itu berkata, serangan tersebut membunuh sekurang-kurangnya 10, berbeza dengan laporan petugas kesihatan dan mencederakan lebih 30 orang awam.
Percanggahan dalam angka korban sejurus selepas serangan bukan perkara luar biasa di Syria. Kumpulan paramedik itu berkata anggotanya memindahkan beberapa mangsa yang cedera dan mayat.
Walaupun pertempuran semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tembakan dan serangan udara bukan perkara luar biasa di utara Syria yang merupakan rumah kepada kubu pemberontak utama terakhir di negara itu. – AP
