Saturday, March 15, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    15 negara bakal berentap di Piala Asia 2025

    KUALA LUMPUR, 11 FEB – Sebanyak 15 negara bakal memeriahkan saingan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa di Kuala Lumpur, pada Mei depan.

    Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata antara negara yang telah mengesahkan penyertaan dalam edisi sulung kejohanan ini ialah Malaysia, India, Singapura, Brunei, Iraq, Myanmar, Indonesia, Vietnam, Jepun dan Taiwan.

    Selain itu, kejohanan turut disertai jaguh dunia seperti Thailand, Korea Selatan, China, Pakistan dan Filipina.

    “Semalam, kami mengadakan mesyuarat persiapan Piala Asia 2025 bersama beberapa exco Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan telah memutuskan bahawa 15 negara telah mengesahkan penyertaan mereka.

    “Seperti yang diketahui, Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia tahun ini akan mempertandingkan empat acara utama iaitu regu (mandatori), double, quadrant dan berpasukan,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

    Gambar Freepik

    Mohd Sumali berkata acara quadrant menerima sembilan penyertaan, double (tujuh), dan berpasukan (lapan), sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam kejohanan ini.

    “Setakat ini, belum pernah ada Piala Asia yang dianjurkan secara sistematik dengan empat acara seperti ini,” tambahnya.

    Dalam pada itu, PSM telah mencadangkan penambahbaikan sistem ‘challenge’ dalam kejohanan antarabangsa, termasuk temasya sukan, kepada ASTAF.

    Menurut beliau, cadangan itu bertujuan memastikan pasukan tidak kehilangan peluang ‘challenge’ sekiranya keputusan berpihak kepada mereka.

    “Sistem sedia ada memperuntukkan dua peluang ‘challenge’, tetapi ia tetap dipotong setiap kali digunakan, sama ada menang atau kalah.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda