WASHINGTON, 11 APRIL – Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mengesahkan menerima tawaran rundingan perdagangan daripada lebih 15 negara, susulan pengumuman Presiden Donald Trump Rabu lalu yang menangguhkan pelaksanaan tarif global selama 90 hari, menurut laporan agensi akhbar Jerman (dpa).
Pengarah Majlis Ekonomi Negara, Kevin Hassett berkata kepada Fox News bahawa perkembangan ini bukan bermakna perjanjian telah dicapai, namun ia menunjukkan bahawa wakil-wakil negara terbabit telah menghubungi dan mengemukakan tawaran yang jelas di meja rundingan.
Beliau menegaskan bahawa tidak akan ada penyelesaian segera, sebaliknya disesuaikan mengikut keperluan dan matlamat bersama.
Menurut kenyataan terdahulu daripada pentadbiran Trump, lebih 75 buah negara menghubungi Rumah Putih bagi menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan perdagangan.
Bagaimanapun, Trump dalam satu kenyataan Rabu lepas berkata, China belum membuat sebarang panggilan setakat Rabu.
Sementara itu, Hassett berkata satu mesyuarat bersama pegawai kanan pentadbiran akan diadakan bagi menyusun keutamaan dasar yang akan dibentangkan kepada Presiden, berdasarkan pandangan para pakar.
Walaupun Trump menangguhkan tarif terhadap sebahagian besar rakan dagang utama AS, tarif ke atas China masih dikekalkan. – Bernama
