KUALA LUMPUR, Malaysia, 1 Jun – Polis Malaysia hari ini berkata mereka telah menahan 15 orang lagi militan yang disyaki, termasuklah beberapa orang warga asing, kerana menyeludup senjata api dan merancang serangan ke atas tempat-tempat peribadatan.
Ketua polis kebangsaan Mohamad Fuzi Harun berkata enam warga Malaysia, enam warga Filipina, seorang pemilik restoran berbangsa Bangladesh dan sepasang suami isteri dari Afrika utara telah ditahan antara Mac dan Mei lalu.
Antara rakyat Malaysia yang ditahan ialah pelajar berusia 17 tahun yang telah membuat enam bom minyak yang ditanamnya untuk digunakan ke atas tempat-tempat hiburan, gereja dan kuil Hindu di Kuala Lumpur, menurut Fuzi.
Pelajar itu yang disyaki anggota kumpulan militan Islamic State (IS), telah menguji salah satu perantinya di kawasan terbuka dan telah ditahan pada bulan April, sejam selepas dia menghasilkan video di media sosial yang memberi amaran tentang serangan itu, menurutnya lagi.
Ketua polis itu berkata seorang wanita warga Malaysia, 51 tahun telah ditahan pada 9 Mei lalu ketika pilihan raya kerana merancang merempuh keretanya ke arah pengundi bukan beragama Islam di pusat mengundi.
“Selain itu, suspek juga merancang merempuh ke arah tempat ibadat bukan Islam dengan menggunakan kereta yang berisi silinder gas sebagai bahan letupan,” kata Fuzi.
Kenyataan Fuzi mengatakan seorang warga Malaysia berusia 33 tahun ditahan selepas dia diusir oleh Turki kerana cuba menyelinap masuk ke Syria untuk menyertai IS. Dua orang lagi warga Malaysia merancang menculik dan membunuh pegawai polis dan juga menyerang tempat-tempat peribadatan, menurut kenyataan itu. – AP